Sunday, September 6, 2009

Amani pilih ‘mat saleh’

KUALA LUMPUR: “Sejujurnya, lelaki ‘mat saleh’ bukan pilihan saya untuk dijadikan teman lelaki atau suami, tetapi pertemuan di lokasi penggambaran filem Hikayat Merong Mahawangsa mengubah persepsi itu.”

Demikian kata pelakon Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya atau Nani ketika memperkenalkan teman lelakinya, Gavin Stenhouse, 23, pada majlis berbuka puasa dan perkenalan anak kembar kakaknya yang juga penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya, kelmarin.

Nani, 23, berkata sikap mesra, sopan selain bersedia mempelajari budaya tempatan membuatkan hatinya tertarik untuk mendekati jejaka Scottish-Welsh itu yang memegang watak Putera Roman dalam filem terbitan KRU Studios itu.

Gavin bertemu Nani yang juga anak kedua guru seni lakon terkenal, Fatimah Abu Bakar ketika menjalani penggambaran filem berkenaan yang turut membabitkan Nani sebagai pembantu pengarah lagak ngeri.

Amani yang sebelum ini sangat berahsia mengenai kehidupan peribadinya tidak menafikan berasa malu untuk bercerita mengenai hubungannya, namun kini mula yakin memandangkan Gavin mudah selesa dengan keluarganya selain mula belajar berpuasa pada Ramadan ini.
Setakat ini Gavin tidak pernah gagal berpuasa walaupun sehari dan sering berbuka bersama keluarga saya.

“Dia juga akan menyambut Aidilfitri bersama kami tahun ini,” kata pemenang Anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-18 menerusi filem Sepet ini.

Gavin yang mudah disapa itu turut menyifatkan Nani sebagai wanita yang mudah bertolak ansur dan persefahaman antara mereka menyebabkan hubungan itu lebih akrab.

“Setakat ini saya tiada masalah berpuasa. Saya ingin menyambut hari raya kerana saya juga berpuasa,” kata Gavin yang mengakui menempah sepasang baju Melayu berwarna kelabu kebiruan untuk Syawal akan datang.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam filem epik yang turut menampilkan Stephen-Rahman Hughes sebagai pendokong utama, Gavin yang dibawa ke Malaysia oleh ejen Creative Artiste Management mengakui Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem pertama lakonannya kerana sebelum ini dia lebih aktif dalam pementasan teater.

Bagaimanapun, Nani menafikan sengaja membawa Gavin ke majlis berbuka puasa yang turut dihadiri sebahagian besar wakil media dan keluarganya untuk menghebahkan hubungannya dengan anak kelahiran Hong Kong itu, sebaliknya ingin mengajar jejaka itu mengenai budaya Melayu beragama Islam.

“Bangsa dan agama kita penuh dengan budaya, saya mahu Gavin mempelajari selok-belok mengenainya,” kata Nani.

Saturday, September 5, 2009

Scha mengaku mencintai Fahrin

SELAMA ni pelakon Scha Al-Yahya dan aktor tersohor Fahrin Ahmad hanya mendakwa hubungan mereka sekadar kawan rapat. Tapi akhirnya Scha membuat pengakuan secara jujur hatinya sudah menjadi milik Fahrin. Pendek kata orang lain jangan cuba nak masuk jarum.

Dalam erti kata lain mereka sudah bersedia mengisytiharkan hubungan mereka itu bukan biasa-biasa lagi sebaliknya sudah ditahap serius.

Semasa Niezam jumpa Scha pada majlis berbuka puasa anjuran Astro minggu lepas, Scha mengaku tidak mahu berselindung yang cintanya terhadap Fahrin sudah berputik.

“Memang setakat ini Fahrin rapat dengan Scha. Tak keterlaluan kalau Scha katakan hubungan itu lebih daripada seorang kawan,” katanya tersipu-sipu malu.

Baguslah kerana Scha berani berterus terang. Bukan apa, selama ini artis-artis kita kalau bercinta selalu nak sorok-sorok. Akhirnya kantoi juga.

Niezam tanya lagi adakah hubungan itu akan berakhir sehingga ke jenjang pelamin, kata Scha, setakat ini belum ke arah itu lagi. Cuma masih dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.

Cuma kadang-kadang tu Scha tak menafikan dalam hubungan tu mereka ada juga berselisih pendapat tetapi dapat diatasi dengan baik.

Tak apalah... gaduh-gaduh dalam percintaan memang perkara biasa. Itulah tandanya sayang

Buru ikan mulut mirip buaya


BIMBANGKAN tahap keselamatan orang ramai, pihak berkuasa Hong Kong melakukan pemeriksaan di beberapa buha kolam dan tasik awam selepas 16 ikan yang mempunyai mulut seperti buaya, Alligator gar ditemui.

Ikan itu dipercayai dibuang oleh pemiliknya di kolam dan tasik disebabkan saiznya yang semakin membesar.

Akhbar South China Morning Post semalam melaporkan seekor ikan Alligator gar sepanjang satu meter berjaya ditangkap di sebuah kolam di taman awam pada Jumaat lalu.

Ikan yang berasal daripada Amerika Utara itu dijual di Hong Kong untuk dipelihara di dalam akuarium semasa panjangnya kurang 30 sentimeter.

Ikan itu boleh membesar sehingga tiga meter panjang dan seberat 140 kilogram.

Menurut akhbar itu, sebanyak 15 ekor ikan ditemui di beberapa kolam dan tasik di sekitar Hong Kong.

Walaupun ikan itu agresif dan merupakan spesies karnivor, ia tidak menyerang manusia. - AFP

Wednesday, September 2, 2009

Anang ceraikan Krisdayanti talak tiga


KUALA LUMPUR - Suami artis popular Indonesia, Krisdayanti, 34, telah menjatuhkan talak tiga kepada penyanyi berkenaan pada 19 Ogos lalu, tiga hari sebelum umat Islam menyambut kehadiran Ramadan.

Anang Hermansyah, 40 tahun, mengaku beliau telah melafaz cerai kepada penyanyi lagu Menghitung Hari itu setelah mempercayai penyanyi yang mesra dipanggil KD telah memiliki 'pujaan hati' yang lain.

"Secara Islam, perceraian itu sudah sah tetapi kami masih dalam proses dengan jabatan agama," ujar Anang kepada beberapa media Indonesia seperti disiarkan.

Menurut Anang, bagi menghormati bulan Ramadan, proses perceraian akan diselesaikan sepenuhnya selepas Aidilfitri ini.

Beberapa media Indonesia juga menulis Anang mengetahui hubungan KD dengan lelaki berkenaan setelah diceritakan sendiri oleh anaknya, Titania Aurellie, 11.

Anang mendakwa, perceraian itu dibuat atas persetujuan anak-anak mereka selain diminta oleh isterinya sendiri.

Tuesday, September 1, 2009

Black tak mahu sertai MUH



SEJAK dinobatkan sebagai Juara Menntor 3 pada Julai lalu, heboh cerita kononnya Black akan menganggotai kumpulan indie, Meet Uncle Hussain (MUH) bagi menggantikan penyanyi utama kumpulan itu, Lan.

KHABAR angin tersebut semakin menyakinkan kerana sejak tersebarnya cerita itu, Black tidak pernah memberi sebarang kenyataan sama ada menafikan atau mengiyakannya.

Bagaimanapun sewaktu ditemui pada majlis menandatangani kontrak Black Mentor 3 bersama Monkey Bone Records di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur minggu lalu, anak didik Mas Idayu ini menafikan khabar angin tersebut sambil berkata;

"Saya tidak akan menyertai kumpulan MUH walaupun ianya baik untuk mempromosikan diri saya sebagai artis baru.

"Bagi saya adalah lebih baik saya membina nama sendiri secara solo dahulu di bawah syarikat rakaman Monkey Bone Records."

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah berkata, dia juga tidak pernah mendapat tawaran untuk menyertai MUH sama ada secara lisan mahupun hitam putih.

"Namun jika benar mereka ingin mengambil saya menjadi penyanyi mereka menggantikan bekas vokalis mereka, Lan, saya amat terharu dan rasa berbesar hati.

"Tetapi saya terpaksa menolaknya kerana saya ingin bergerak secara solo dahulu," ujar Black.

Sementara itu, Pengurus label Monkey Bone, Edris Adrian berkata, desas-desus lamaran MUH kepada Black mungkin timbul kerana mereka pernah meminta lagu daripada Taja untuk dinyanyikan oleh Black.

Edris menekankan Black tidak sekali-kali akan menyertai MUH kerana Monkey Bone telah pun merencanakan perjalanannya sebagai artis solo.

Namun, Edris menambah terdapat kemungkinan jika lagu Black turut menampilkan MUH sebagai artis undangan.

"Monkey Bone akan mengeluarkan album penuh Black pada November atau Disember tahun ini.

"Jika tiada aral melintang, album penuh akan dikeluarkan Disember ini. Kami berharap ianya sempat untuk dimasukkan dalam pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM)," kata Edris.

Menurut Edris, dia mengagumi vokal luar biasa Black yang lain daripada lain dari peringkat awal Mentor sehinggalah final.

"Vokal Black memang agak tinggi dan dia memang sesuai menyanyikan lagu berkonsepkan rock.

"Album pertama Black ini juga akan berkonsepkan genre rock secara amnya. "Namun, kami turut mempelbagaikannya dengan rock alternatif dan pop rock kerana Black juga suka menyanyikan lagu pop rock," tambah Edris.

Di majlis yang sama Juara Mentor 3 itu menerima cek RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva.

"Saya akan menghadiahkan kereta ini kepada ibu bapa saya. Saya juga berniat untuk menghantar mereka berdua mengerjakan ibadah Haji suatu hari nanti," tambahnya yang amat meminati Amy Search dan teringin berduet dengannya jika diberi peluang.

Selepas majlis Tandatangan Kontrak Black Mentor 3 itu, turut diadakan Sesi Rakaman Mentor 3 Raya yang melibatkan artis-artis terkenal dan peserta Mentor.

Berkonsepkan santai dan padat dengan elemen hiburan, rakaman khas episod Syawal kali ini turut membariskan gandingan sifu (mentor) dan protege musim ketiga.

Misalnya, Awie bersama Keena, Adibah Noor dan Thye, Lah dan anak didiknya Fira, komposer terkenal Ajai dan Chaq serta Black bergandingan dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu mendendangkan lagu-lagu Raya.

Mentor 3 Raya yang akan bersiaran selama sejam ini bakal disiarkan pada 27 September ini pada pukul 9 malam di TV3.

Cinta Datuk



Umie Aida mengaku dalam proses mengenali hati budi lelaki yang juga tokoh korporat

USIKAN media yang menemuinya ketika penggambaran program masakan, Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza baru-baru ini disambut dengan senyuman yang meleret manis di wajah ayu Umie Aida.

Sesekali dia berseloroh dan tersipu malu, membalas semula gurauan yang ditujukan. Namun untuk membongkar segala isi hatinya bukan sesuatu yang mudah dilakukan.
Saya tidak akan sorok jika hari bahagia itu datang nanti,” janji Umie kepada media yang tidak putus menagih kepastian sejak berita dia dilamar ahli perniagaan berpangkat Datuk tersebar beberapa minggu lalu.

Malah teka-teki mengenai siapakah gerangan ahli perniagaan itu mula menjadi bualan di kalangan pihak media dan peminat hiburan tanah air. Ada yang mendakwa sudah mengetahui identiti Datuk itu. Malah ada yang mengaku pernah terserempak dengan tokoh korporat itu bersama aktres yang kelihatan begitu anggun dalam busana baju kurung petang itu.

Sebagai wanita, Umie juga mendambakan kehadiran lelaki bernama suami, malah tidak pernah sesekali menolak ketentuan yang ditakdirkan Tuhan.
Malah aktres yang memberi lakonan berkesan menerusi filem Embun ini berkata, dia ingin sekali berkongsi detik bahagia itu bersama mereka yang sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupnya.

Cuma kata Umie, berikan dia sedikit ruang dan masa kerana segala perancangan ke arah itu masih dalam perbincangan.

“Saya mendoakan supaya jodoh kami dipercepatkan untuk saya mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Perkenalan kami berlaku dalam waktu singkat dan percaya tidak, kami masih belum berkesempatan keluar berdua.

“Dengan ada ikatan pertunangan, barangkali lebih mudah untuk kami saling mengenali hati masing-masing,” kata Umie yang agak pemalu apabila diajak berbicara mengenai hari bahagianya.

Menjengah usia 36 tahun, Umie berpendapat, adalah lebih manis jika dia tidak terlalu menggembar-gemburkan berita itu.

Tambahan pula, fasa yang dilaluinya ini bukan lagi sebuah episod cinta remaja, sebaliknya kata Umie, dia mendambakan sebuah perhubungan serius yang lebih terarah kepada membina keluarga.

“Saya mendoakan sesuatu yang terbaik akan berlaku dalam kehidupan ini. Hanya itu yang dapat saya katakan. Saya reda dan terima jika sudah tertulis dia ialah jodoh saya,” katanya mengakui, tarikh hari bahagianya masih dalam perbincangan.

Kata Umie, pesanan arwah bapanya supaya mencari lelaki yang ikhlas mencintai dirinya membuka pintu hatinya untuk melangkah ke alam berumah tangga.

Umie percaya, keikhlasan dalam perhubungan akan membungakan bahagia sekali gus rumah tangga yang bakal dibinanya nanti juga berkekalan.

“Ramai berpesan begitu dan saya cuma mampu berdoa kehadirannya akan membuat saya serta anak-anak bahagia,” katanya.

Enggan menoleh episod cinta lama yang menjadi catatan sejarah yang tidak ingin dikenang lagi, Umie berkata, dia perlu memberi ruang kepada dirinya untuk mengenali bakal suaminya dengan lebih akrab lagi.

Adik pelakon dan pengarah berkaliber, Erma Fatima ini mengakui, pengalaman menempuh kegagalan dalam percintaan terdahulu membuatkan dia lebih berhati-hati untuk membina hubungan baru.

“Disebabkan terlalu berhati-hati membuatkan sampai satu peringkat saya sukar mencari pasangan baru. Saya akui tidak mudah untuk membina hubungan kerana saya bukan seorang yang senang jatuh cinta.

“Tetapi apabila saya mencintai seseorang, saya akan menyayanginya sepenuh jiwa. Namun perasaan itu berbeza apabila saya berkenalan dengan si dia.

“Gerak hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya. Insya-Allah, Tuhan akan makbulkan. Tuhan menggerakkan semua ini tanpa saya sedari dan perlahan-lahan kami sedang melangkah ke satu tahap yang lebih serius,” katanya.

Sekadar mendedahkan identiti bakal suaminya sebagai duda dua anak berusia pertengahan 40-an , Umie bagaimanapun tidak menafikan sudah melakukan sedikit persiapan menjelang hari bersejarah itu.

Pereka senior, Bill Keith diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan persalinan pada hari pertunangannya nanti.

Tegas Umie lagi, perkahwinan baginya bukan sebuah perjudian, sebaliknya adalah matlamat.

“Seandainya kita yakin, semua benda akan dihadapi dengan tenang dan Insya-Allah perceraian mampu dihindari,” katanya yang dirisik keluarga lelaki itu pada 17 Mei lalu.

'Spiderman' akhirnya tawan Menara Petronas




Sep 1, 09

Alain Robert, 'Spiderman' dari Perancis ditangkap hari ini selepas berjaya memanjat Menara Petronas, percubaan ketiganya untuk menawan menara tertinggi di negara ini, kata polis.

Robert, 46, mula memanjat menara setinggi 88 tingkat itu sebelum Subuh dan sampai ke kemuncaknya, sebelum disedari oleh pegawal keselamatan di situ, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman kepada AFP.

"Kita telah membawanya ke balai polis untuk disoal dan memeriksa pasportnya.

"Beliau boleh didakwa atas tuduhan menceroboh," katanya.

Percubaan pertama Robert untuk memanjat menara itu ialah pada 20 Mac 1997, dan percubaan kedua pada 2007, selepas dia dibebaskan tanpa didakwa.

Beliau yang digelar 'Spiderman' pernah memanjatkan Eiffel Tower di Paris dan Golden Gate Bridge di San Francisco.

Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter itu, yang siap dibina 1998, merupakan bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh antaranya Taipe 101.

Panjat dua jam

Sementara itu, Bernama pula melaporkan Robert yang memakai kemeja T gelap dan berseluar jeans, mula memanjat Menara Dua pada jam 6 pagi dan sampai ke puncaknya dalam masa dua jam.

Bagaimanapun, dia ditahan polis dan disiasat kerana kesalahan
menceroboh kerana tidak mendapatkan permit.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan larangan dengan memanjat tanpa permit," kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman.

Robert dipercayai memasuki Malaysia pada 25 Ogos lepas dan tinggal di Hotel Mandarin Oriental yang berdekatan menara Petronas itu.