Sunday, August 30, 2009

Sardin hidangan sahur Mawi & Ekin


Hari ini sudah sembilan hari umat Islam meraikan Ramadan, bulan suci yang menuntut setiap daripada kita mempertingkatkan amalan.

Bagi mereka yang baru berumahtangga, tentunya Ramadan amat bermakna kerana dapat merasai pengalaman yang berbeza berbanding hari-hari sebelumnya.

Bagi Mawi, 28, dan Ekin, 30, menyambut Ramadan pertama kali sebagai suami isteri ada keseronokannya.

Manakan tidak, kalau dahulu semua yang dilakukan untuk kepentingan diri sahaja tetapi kali ini semuanya perlu difikirkan bersama.

Cuma pada kali ini mereka meraikan hari mulia dengan cara yang berbeza kerana berbuka puasa dan bersahur ditempat orang.

Beberapa hari sebelum Ramadan menjelang, Mawi dan Ekin telah berlepas ke Colombo, Sri Lanka untuk menjayakan program Langkah Mawi terbitan Astro.

Di negara itu Ekin dan Mawi terpaksa melupakan juadah-juadah istimewa yang biasanya dijual di pasar Ramadan.

Bukan mahu memperlekehkan negara orang tetapi akui mereka, segalanya lebih indah di negara sendiri.

Juadah berbuka puasa di Sri Langka amat berbeza. Tiada kuih-muih seperti di tempat kita.

Yang ada kebanyakan makanan berasaskan kari dan rempah ratus yang kadang-kadang sukar untuk ditelan. Yalah... makanan tempat orang.

"Kami berbuka puasa di hotel tetapi makanannya tidak seenak di tempat kita. Nak telan pun kadang-kadang susah. Yalah... semuanya bau rempah ratus yang kuat.

"Tapi tak apalah... semua itu pengalaman berharga pertama kali berpuasa ditempat orang," kata Ekin yang mengalami keracunan makanan ketika di negara itu.

Dan ketika pulang ke tanah air pada 26 Ogos lalu, barulah mereka dapat merasai nikmat berbuka puasa di tempat sendiri sepenuhnya.

Cuma jelas Ekin, dia masih belum sempat untuk merasai bagaimana berbuka puasa di rumah berdua kerana masing-masing sibuk dengan menghadiri undangan majlis-majlis berbuka.

Dan Ekin sendiri pun mengaku dia teringin untuk mencuba air tangannya dalam menyediakan juadah berbuka untuk suami tersayang.

Janjinya, apabila ada masa yang sesuai, mungkin Mawi dapat merasainya juga.

Menurutnya Mawi tidak cerewet macam sesetengah orang.

Hari pertama bersahur selepas pulang dari luar negara, Ekin hanya sempat memasak sardin, macam kehidupan orang bujang.

Menurut Ekin, Mawi tidak merungut sebaliknya berkata ikan sardin pun sedap untuk dijadikan hidangan bersahur. Lagipun bersahur bukannya perlu makan banyak. Cukup sahaja mengambil keberkatannya.

"Bukan Ekin tak boleh masak makanan lain tapi hari pertama bersahur di rumah kami tu, ikan sardin sahaja yang senang dimasak. Mawi pun tak kisah. Tapi kalau makan hari-hari pun tak boleh juga, muak pula," katanya.

Lapan bulan mendirikan rumah tangga, tentu sahaja mereka seperti pasangan lain yang mengimpikan untuk menimang cahayamata.

merancangTetapi rezeki itu adalah kuasa Allah. Mereka hanya mampu merancang tetapi Tuhan akan menentukan segala-galanya.

Kata Ekin dia memang sudah bersedia untuk mempunyai anak sendiri tetapi apa nak buat, perutnya masih belum lagi berisi.

Bersyukur mendapat suami seperti Mawi yang tak habis-habis meminta dia bersabar terhadap perkara itu.

"Mawi rileks sahaja. Dia kata sabar sajalah. Jangan nak fikir sangat pasal anak. Kalau ada rezeki tu ada la," katanya.

Istimewanya pada tahun ini bukan sahaja bergelar suami isteri buat pertama kalinya tetapi mereka turut berlakon bersama untuk rancangan Hari Raya berjudul Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya.

Ekin juga sudah sibuk dengan perniagaan kain tudung dan jubah di butiknya, ME World Collection yang terletak di Danga Bay, Johor Bahru.

Selain menjual pakaian, butik tersebut turut menjual hamper-hamper untuk dijadikan hadiah sempena Ramadan dan Hari Raya.

Gembira dengan perniagaan itu, buat masa ini bisnes berkenaan sukses dan akan diperluaskan pula di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Pada mulanya mereka merancang untuk membuka cawangan butik berkenaan sebelum Ramadan ini tetapi terpaksa ditangguhkan kerana memberi laluan terhadap kerja-kerja pengubahsuaian studio milik Mawi.

No comments:

Post a Comment