Saturday, April 11, 2009

Azharina terbuka berbicara soal hati, Yuni Shara selesa menyimpan rahsia



SETIAP individu menyimpan cerita hidup sendiri. Sebahagian barangkali terbuka untuk berkongsi, manakala sebahagian lagi mahu disimpan sebagai rahsia hati, namun akhir kehidupan setiap insan pasti mendambakan kebahagiaan.

Laluan hidup setiap individu tidak serupa tetapi aturan riwayat juga tidak sentiasa menjanjikan hanya yang manis. Catatan kehidupan dua nama yang mempunyai pengaruh tersendiri, Azharina Azhar dan Yuni Shara juga tidak sentiasa ditemani rona ceria.
Berbeza Azharina yang lebih terbuka dalam berbicara soal hati, barangkali kerana usianya yang masih membara dan menyala dengan tenaga muda, Yuni pula selesa menyimpan rahsia hidupnya sendiri.

Sikap perahsia Yuni pernah dinukilkan teman baiknya iaitu komposer dan penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslaw lewat lagu Sepi yang tepat menggambarkan karakter penyanyi bersuara manja itu.

Pertemuan santai Azharina yang sedang popular dengan lagu Rawan di kediaman dihias cantik sentuhan Inggeris milik penyanyi bertubuh kecil ini di Villa Fatmawati, Lebak Bulus, Jakarta Selatan merungkai sesuatu yang indah untuk dikenang.


Pertemuan kedua yang mengeratkan hubungan dua anak seni dua negara ini juga mengusir segala rasa gelisah dan gundah Azharina yang selesa disapa Nina, apatah lagi Yuni menerima kehadirannya dengan tulus biarpun tidak mengenali dengan dekat.

“Saya berasa begitu dihargai, malah Yuni juga membuat saya selesa dengan sikapnya yang peramah dan ceria hingga saya tidak kekok biarpun itu kali pertama saya mengunjungi kediamannya.

“Awalnya saya berasa agak gusar, malah tertanya sendiri bagaimana penerimaan artis besar sepertinya namun kedekatan Bill Bora dengan Yuni melenyapkan segala perasaan itu.

“Satu peluang yang cukup berharga tambahan pula Yuni ialah antara penyanyi luar yang saya kagumi kerana pengalaman serta kematangannya hingga mampu bertahan dalam industri sehingga hari ini,” kata Azharina.

No comments:

Post a Comment