Friday, September 25, 2009

10 mayat Tak Busuk

Untuk renungan bersama, insyallah. Sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP. Bertanya orang kepada Rasulullah saw : "Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?" Maka jawabnya Rasulullah saw, "Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'." Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku. Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal di waktu mati :
1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8. Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang beriman. Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra, sabda Rasulullah saw: Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan: Wahai Ridhwan, sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hanba-hamba Ku berpuasa (ahli puasa) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga. Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaimana yang difirman oleh Allah swt di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud : "Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu." * Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati. " Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." Surah Al-Baqarah : 237

Mawi, Ekin sepakat



Daripada perbualan saja, cukup menjelaskan betapa pasangan sama cantik sama padan ini begitu teruja menempuh pengalaman baru itu.

Sama seperti pasangan baru berkahwin lain, Mawi dan Ekin turut menetapkan giliran di sebelah manakah mereka patut beraya dulu.

Lazimnya, tahun pertama si isteri akan beraya di rumah suami tetapi Mawi lebih beraya di rumah mentua.

“Beraya di mana pun sama saja, tidak perlu dijadikan isu. Lagipun kami berdua berasal dari negeri sama (Johor), jadi senang merancang.

“Raya pertama selepas beraya dengan keluarga Ekin, sudah boleh pulang ke kampung saya di Felda Taib Andak, Kulai Johor. Hendak ke Johor balik selepas itupun tiada masalah. Itulah untungnya berkahwin dengan orang dekat.

“Perjalanan dari Kulai dengan Johor Bahru mengambil masa kurang dari 40 minit. Malah dua, tiga hari sebelum raya, saya tidur di rumah emak, tolong apa yang patut kemudian sehari sebelum raya pulang ke rumah mentua.

“Yang paling penting bagi saya memanfaatkan bulan mulia ini sebaiknya untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan seluruh saudara-mara yang jauh mahupun dekat,” katanya.

Ekin yang tampak sedikit berisi, mengakui kekok menyambut Aidilfitri kali ini.

Jika dulu menguruskan diri sendiri tetapi sekarang tentu saja tumpuan diberikan pada Mawi.

Tuesday, September 22, 2009

Tomok Kepingin Berlakon


Memulakan karier bersama New Boys, Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama Tomok kini mengorak langkah lebih jauh setelah berjaya memenangi One In A Million (OIAM) 3.


"Terpulang kepada peminat nak menilai sejauhmana kemampuan Tomok kerana Tomok sudah buktikan dalam OIAM3 dengan imej dan muzik yang sangat berbeza. So tak timbul soal sama seperti dulu atau tidak. Apa yang penting Tomok cuba buat kelainan," katanya.

Tampil solo dalam album terbaru kerana baginya kini imej yang dicipta jauh berbeza dengan penampilan sewaktu bersama kumpulan yang popular dengan lagu Sejarah Mungkin Berulang itu.

"New Boyz masih lagi bergerak seperti dulu namun Tomok lebih menumpukan untuk bergerak solo. Selain itu, Tomok ada menerima tawaran berlakon dan memang Tomok teringin nak mencuba sesuatu yang baru walaupun pernah berlakon beberapa telemovie dan drama sebelum ini.

"Selagi tak cuba, Tomok pun tak tahu sejauh mana bakat lakonan yang ada. Memang Tomok ada pengalaman berlakon tapi belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan dan kalau boleh Tomok nak cuba semua watak. Namun fokus utama tetap kepada nyanyian dan Tomok pun ada menulis lagu untuk album sendiri," ujar Tomok tersenyum.

Tomok lebih senang membicarakan soal karier berbanding kisah cintanya, namun mengakui dirinya kini sedang rapat dengan seseorang.

"Teman Tomok bukan daripada kalangan orang industri ini. Tomok lebih senang fokus kepada karier kerana Tomok bekerja keras untuk dapat apa yang ada sekarang ini," ujarnya ringkas.

Pertemuan sulung Lisa, Nicholas


PENING juga dibuatnya apabila memikirkan pasangan yang sesuai dan layak untuk digandingkan dengan aktor popular dari seberang ini.

Bimbang kalau silap percaturan sesi fotografi ini akan menjadi dingin kerana tiada keserasian yang wujud antara Nicholas Saputra dan pasangannya nanti.

Lantas, idea menggandingkan Nicholas atau Nico dengan pelakon yang semakin hari semakin menempa nama, Lisa Surihani dilontarkan.

Fikir saya, ideal sungguh andai mereka berdua digandingkan dan pastinya sesi fotografi ini akan menjadi sesuatu yang menarik.

Lisa seperti mana yang diketahui merupakan seorang aktres yang memiliki rupa, bakat dan kebijaksanaan.

Bicaralah apa sahaja dengannya, ada sahaja jawapan bernas yang mampu dihujahkan.

Dan, perkara itu sendiri diakui oleh Nico saat diminta pandangannya tentang Lisa yang kali pertama ditemukan.

"Dia adalah seorang yang cantik dan bijak," ujar Nico menggambarkan karakter Lisa.

Kata orang yang rapat dengan Nico, jarang sekali dia memuji seseorang dan andai pujian itu terpacul dari mulutnya, maka dia menyenangi orang itu.

Begitu juga dengan Lisa yang mengakui, sangat selesa berada di samping Nico walaupun pada mulanya aktor pujaan ramai itu agak berat mulut dan pendiam.

"Kerana itu, saya harus mencari topik yang sesuai untuk memulakan bicara kami dan ternyata banyak perkara yang boleh kami bincangkan bersama," kata Lisa yang mengagumi lakonan Nico sebagai Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta?.

Memang benar. Sepanjang sesi fotografi, Nico dan Lisa memiliki keserasian dan tidak kekok bila diminta memberikan pelbagai gaya.

Biarpun pada hari fotografi tersebut Nico baru sahaja tiba dari Jakarta, Indonesia bagi menyelesaikan penggambaran iklan, dia tidak merungut. Suasana juga terhibur dengan kepetahan Lisa melayani Nico.

Sesi fotografi ini sebetulnya merupakan gandingan pertama Nico dan Lisa. Rasanya belum pernah lagi mereka digandingkan dalam mana-mana penerbitan sebelum ini.

Sungguh padan sekali Nico dan Lisa berpakaian sedondon dalam persalinan busana Melayu yang cukup menyerlahkan keperibadian dua anak kelahiran negara serumpun ini.

Apatah lagi, Nico dan Lisa juga masih lagi muda - masing-masing berusia 25 dan 23 tahun. Jadi, tiada masalah untuk mereka berkongsi cerita mahupun pendapat.

Menatap gambar Nico ini, mungkin ramai yang berkerut dan memikirkan apakah sebenarnya agama yang dianuti Nico. Sebelum ini ramai yang beranggapan dia penganut agama Kristian sedangkan hakikatnya, tidak.

Nico merupakan seorang penganut agama Islam. Bapanya adalah keturunan Jawa sementara ibunya pula berdarah Jerman.

"Mungkin kerana nama dan paras rupa saya yang menyebabkan ramai menyangka saya adalah bukan Islam," ujarnya bersahaja.

Lantaran itu, soalan demi soalan diajukan kepada anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini mengenai sambutan Syawal di tanah kelahirannya.

Jelasnya, lebaran merupakan hari keramaian untuknya kerana hanya pada waktu itu sahaja, dia dapat berkumpul bersama ahli keluarganya yang lain.

Seperti umat Islam yang lain, sebaik sahaja selesai solat sunat Aidilfitri, Nico sekeluarga akan berkunjung ke rumah neneknya yang menjadi pusat pertemuan untuk semua ahli keluarga.

"Sungguh seronok sekali apabila melihat keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan berkumpul sepanjang tiga hari kami mengadakan rumah terbuka.

"Bukan itu sahaja, saya juga masih lagi mendapat duit raya daripada pakcik dan makcik saya yang menjadi satu adat di sana untuk mereka memberikan wang kepada mereka yang masih belum berkahwin," katanya yang cukup gemar menikmati sambal goreng hati dan rendang di pagi lebaran.

Sempat juga pelakon filem Janji Joni dan Biola Tak Berdawai itu berkongsi pengalaman sedihnya apabila tidak dapat beraya bersama keluarga pada tahun 2005.

Ketika itu, dia perlu melunaskan tanggungjawabnya menerbitkan sebuah dokumentari tentang Acheh selama 10 hari.

"Memang sedih terutama sekali saat takbir dilaungkan. Namun, semua itu adalah satu pengalaman dan saya sendiri dapat merasai bagaimana beraya di perantauan," ujar Nico yang merupakan VJ di Channel [V].

Suatu hal mengenai Nico yang mungkin ramai tidak diketahui ramai ialah dia sememangnya cukup berat mulut untuk berkongsi cerita peribadi buat tatapan umum. Bagi Nico, ia bagaikan satu tabu jika soalan berbentuk peribadi diajukan kepadanya.

Dalam erti kata lain, usah bermimpi untuk mendapatkan jawapan darinya terutama sekali membabitkan cinta.

"Peribadi adalah hak saya dan tidak wajar untuk saya berkongsi kepada masyarakat.

"Kerja dan peribadi adalah dua cabang yang cukup berbeza. Saya fikir ada lebih banyak lagi cerita lain yang boleh saya kongsi dan paparkan kepada masyarakat," tuturnya dalam nada tegas.

Mengalih bicara kepada perkembangan karier seninya pula, Aktor Terbaik Anugerah Filem Indonesia 2007 ini dengan penuh jujur memberitahu, dia memang selektif dan cerewet.

Memang pernah heboh sebelum ini mengatakan Nico sudah jauh berubah dan hanya mahu berlakon dalam filem yang ditangani oleh pengarah hebat saja.

"Isunya bukan berlagak atau sombong. Selektif saya bertempat dan semuanya kerana mahu memberikan yang terbaik kepada penonton dan peminat.

"Saya bukannya seorang yang asal berlakon sahaja demi memuaskan hati sesetengah pihak yang mahukan saya beraksi di bioskop.

"Ini merupakan tanggungjawab saya kepada mereka dan saya tidak kisah kalau tawaran berlakon tidak banyak," ujar Nico yang kali terakhir beraksi dalam filem 3 Hari Untuk Selamanya dua tahun lalu.

"Kami berdua peminat Siti"


PADA 23 Ramadan lalu bersamaan 13 September, banglo yang didiami Siti Nurhaliza dan suaminya, Khalid atau Datuk K meriah dengan kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Siti dan Khalid meraikan dua tetamu ulung negara itu pada majlis berbuka puasa selain beberapa rakan karib pasangan itu.

Beberapa jam sebelum bertemu Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah saya yang turut diundang ke majlis itu sudah berkira-kira untuk bertanya pandangan kedua-dua tokoh itu mengenai Siti.

Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang lebar kerana apa yang paling utama ialah saya mahu membawa anda mendengar jawapan daripada Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah.

Dan suatu yang pasti, jawapan yang saya peroleh daripada pasangan suami isteri itu sudah tentu juga akan dipersetujui oleh sebilangan besar peminat setia penyanyi itu.

Mahu tahu apa jawapan Dr. Mahathir?

Berikut apa yang sempat saya tulis dalam buku nota saya:

"Saya antara peminat setia Siti. Saya sangat kagum dengan bakat yang ada dalam dirinya," itu reaksi ringkas Dr. Mahathir menggambarkan kekaguman beliau pada penyanyi yang begitu masyhur di negara ini.

Dr. Mahathir juga mengakui, beliau sering mengikuti perkembangan seni Siti.

Dalam perbualan antara saya dengan Dr. Mahathir serta turut disertai oleh Siti tempoh hari juga, jelas terpancar kebanggaan pada bekas Perdana Menteri yang disayangi rakyat itu terhadap pencapaian penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu.

Saya turut bertanya reaksi Dr. Mahathir terhadap persembahan Siti pada Konsert Satu yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jun lalu. Dr. Mahathir dan isterinya turut hadir menonton Konsert Satu.

Rancak bercerita pasal konsert berkenaan juga, tiba-tiba Dr. Mahathir menyuarakan sedikit rasa kecewa beliau terhadap persembahan itu.

Saya yang agak tergamam lantas bertanya kepada Dr. Mahathir kenapa beliau merasa kecewa dengan persembahan Siti yang berlangsung selama tiga malam itu.

"Sebab tak banyak lagu tradisional. Saya katakan pada Siti yang saya sangat frust (kecewa) sebab dia tak nyanyi banyak lagu tradisional.

"Tapi saya kena fahamlah dia ada banyak lagi lagu popular lain yang dia perlu nyanyi," kata Dr. Mahathir sambil memandang Siti yang tersipu-sipu malu di sisinya.

Pada masa yang sama, Dr. Mahathir juga menyatakan kekaguman terhadap vokal Siti yang disifatkannya sebagai anugerah tertinggi daripada Allah buat penyanyi berusia 30 tahun itu.

"Saya hairan sungguh dia (Siti) boleh nyanyi hampir 30 lagu tanpa henti. Pada saya bukan senang untuk kita menyanyi, menari, bercakap di atas pentas.

"Bertuah betul dia (Siti). Saya harap dia akan kekalkan apa yang ada dalam diri dia," nasihat Dr. Mahathir kepada penyanyi yang baru saja muncul dengan album kerohanian, Tahajud Cinta.

Dr. Siti Hasmah yang banyak menyuntik inspirasi kepada sebilangan besar rakyat Malaysia turut mengakui, beliau antara peminat Siti.

"Suaranya cukup merdu. Saya sangat sayang pada Siti," kata Dr. Siti Hasmah seorang ikon yang disayangi dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sebetulnya tidak banyak kesempatan yang saya ada untuk berbual dengan lebih panjang bersama Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah.

Ini kerana saya sendiri begitu ralit melihat betapa mesranya hubungan mereka berempat - Dr. Mahathir, Dr. Siti Hasmah, Siti Nurhaliza dan Khalid.

Begitu juga keramahan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah melayan tetamu-tetamu lain.

Lalu, saya tinggalkan anda dengan beberapa lagi foto menarik yang dirakamkan oleh jurugambar Mohd. Farizwan Hasbullah.

Oh ya... saya juga sengaja ingin membawa ingatan anda semua kepada sekeping foto yang dirakamkan pada tahun 2005 - iaitu sesi fotografi pertama yang saya atur antara Siti bersama dan mentornya di Restoran Smokehouse di tengah-tengah ibu kota.

Akrab seperti satu keluarga


EMPAT tahun lalu, saya pernah mengatur satu majlis berbuka puasa dan sesi fotografi istimewa Aidilfitri antara penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Apabila mendapat persetujuan daripada Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah, saya maklumkan hal itu kepada Siti dan penyanyi itu melonjak kegembiraan kerana sudah lama dia berhasrat untuk bergambar bertiga dengan pasangan tersohor untuk sesi fotografi.

Itu kisah pada tahun 2005 ketika saya masih lagi bertugas dengan akhbar Kosmo! (akhbar terbitan Kumpulan Utusan). Siti pula pada ketika itu belum lagi bergelar isteri orang.

Tahun ini, sekali lagi Siti saya hubungi menyuarakan hajat untuk mengadakan sesi fotografi.

Seingat saya, panggilan itu dibuat seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan meminta Siti mengosongkan diarinya bagi memenuhi keinginan Mega merakamkan foto beliau dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam kesibukan saya serta Siti, kami terlepas pandang sehingga menjelang penghujung Ramadan.

Sekali lagi, Siti dan suaminya saya hubungi bertanyakan apa status permintaan saya untuk merakamkan foto mereka untuk tatapan pembaca akhbar ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pasangan popular itu seperti tiada jawapan. Baik Siti mahupun Khalid mereka berdua hanya mampu ketawa kerana masing-masing buntu.

Bagaimanapun, perancangan Khalid mengundang Perdana Menteri keempat negara, Dr. Mahathir dan isteri beliau, Dr. Siti Hasmah ke rumah mereka untuk majlis berbuka puasa mengubah segala-galanya.

Siti menghubungi saya dan mengundang saya untuk menyertai majlis berkenaan.

Apabila diundang ke majlis berbuka puasa bersama negarawan ulung, haruskah saya menolaknya?

Saya pasti anda juga akan berfikir dua kali untuk menolak undangan itu.

Sebaik persetujuan diberi, saya memaklumkan kepada Siti dan Khalid hajat saya untuk sekali lagi mengulangi momen manis yang pernah Siti lalui ketika saya merakamkan foto penyanyi itu dengan pasangan yang disayangi oleh seluruh rakyat Malaysia itu. Alhamdulillah, semua pihak tiada halangan.

Pada hari yang dirancang itu, saya sekali lagi bersua muka dengan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah.

"Dulu bukan ka kita dah pernah ambil gambar macam ini? Tak apa ka nak buat lagi sekali? Ada ka orang nak tengok muka kami?" itu antara soalan yang ditanya Dr. Mahathir kepada saya dan Siti secara spontan ketika kami meminta persetujuan untuk merakamkan foto sempena Aidilfitri.

Ketika itu juga, saya rasa malu sendiri kerana Dr. Mahathir masih lagi ingat pengalaman manis itu.
Selepas mendengar pertanyaan Dr. Mahathir, saya, Siti dan Khalid hanya mampu tersenyum kerana beliau begitu merendah diri.

Pada masa yang sama, hati saya berbunga keriangan kerana berpeluang sekali lagi mendekati tokoh Melayu yang sangat masyhur di seluruh dunia.

Terima kasih Dr. Mahathir. Terima kasih Dr. Siti Hasmah.

Friday, September 18, 2009

Nurul Syuhada Telebih Sudah

Rozita Dan Ayu Raudhah


SUDAH pasti, khalayak umum hanya mengenali anak kedua dan keenam dari keluarga besar Che Wan Md. Arshad dan Zabedah Saad iaitu, Rozita dan Ayu Raudah yang bergelar pelakon popular.

Sebenarnya tiga lagi adik-beradik perempuan mereka turut memiliki kejelitaan yang sama taraf dengan dua selebriti itu.

Cuma ketika sesi fotografi dijalankan hanya empat daripada lima adik-beradik perempuan mereka dapat dikumpulkan iaitu Rozita, 36, Ayu Raudah, 25, kakak sulung, Rahimah 37, dan Rohaiza, 28, yang merupakan anak kelima, daripada tujuh adik-beradik.

Anak ketiga, Rubitah, 32, yang merupakan isteri kepada Lan Senario tidak dapat hadir. Meskipun hanya berempat tetapi Studio Utusan tetap kecoh dan gamat dengan gelak tawa mereka kerana mereka turut ditemani dua adik-beradik lelaki, Roshidi, 30, dan Mohd. Rafiuddin, 21.

Keempat-empat jelitawan Che Wan tergelak besar apabila dikatakan memiliki kejelitaan yang istimewa sehingga sering dikaitkan dan menjadi buruan 'orang berpoket tebal'.

Meskipun itu soalan lazim yang diajukan, tetapi mereka tidak pernah mendabik dada dengan kecantikan semula jadi yang dimiliki.

"Jelita ke? Kami rasa biasa sahaja. Lahir-lahir memang sudah macam ini, jadi kena berterima kasih kepada ibu kerana melahirkan kami.


"Tidak semestinya cantik mesti kahwin dengan orang kaya, itu persepsi orang lain tetapi bagi kami perkahwinan itu kerana jodoh. Ibu kami juga tidak kisah dengan siapa kami berkahwin asalkan bahagia. Kalau ada yang menganggap kami cantik terima kasih. Ini semua hanya pinjaman daripada Allah. Kalau sudah jodoh dengan orang kaya terima sajalah," ujar Rozita.

Ditebak tentang khabar angin kononnya setiap kali tibanya hari raya, pasti banyak kereta mewah berbaris panjang di hadapan kediaman mereka di Alor Setar, Kedah. Kiranya, ramailah orang kaya raya yang bertandang ke rumah mereka.

Baik Rozita, Ayu, Rohaiza dan Rahimah berpandangan sesama sendiri sebelum tergelak besar dan menyoal semula siapakah yang memberitahu khabar angin itu.

"Kereta mewah berbaris panjang? Mana ada. Kalau ada pun kereta kami adik-beradiklah. Kami tujuh adik-beradik, bila semua balik pastilah penuh halaman rumah. Kadang-kadang jiran sebelah pun tumpang letak kereta depan rumah kami.

"Kalau nak ikutkan setiap tahun orang yang beraya di rumah kami adalah orang yang sama. Kawan-kawan adik-beradik dan saudara-mara. Tidak tahulah pula ada kereta mewah depan rumah kami," ujar Rohaiza sambil tertawa.

Rozita menambah itu semua sekadar gosip sahaja dan mereka sudah biasa menelan segala tohmahan yang diberikan khalayak dan media dengan baik.

Katanya disebabkan hubungan mereka adik-beradik sangat rapat, mereka dapat membezakan gosip yang benar dan rekaan semata-mata.

"Kami semua tinggal satu apartmen, cuma pintu rumah saja lain-lain.Sebab itu kami rapat dan berjumpa setiap hari. Bila ada gosip baru, adik-beradik saya yang tahu dulu, jadi kami tidak ada salah faham. Ibu di kampung pun tidak risau kerana kami masih bersama di Kuala Lumpur," kata Rozita yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak lelaki.

Scha taruhan Astro


Walaupun Astro mengekalkan gandingan pengacara asal, Fahrin dan Awal Ashaari, namun kehadiran Scha untuk digandingkan dengan Fahrin sebagai hos utama tidak dapat lari daripada mengambil peluang menerusi hubungan yang terjalin.

Malah sebelum ini Fahrin digandingkan dengan pasangan teman tapi mesranya, Linda Onn untuk dua musim dan kini dengan Scha pula.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan menafikan mengeksploitasi mana-mana pihak, tetapi mengatakan melalui perbincangan mereka mendapati Scha mempunyai potensi yang besar sebagai pengacara.

Katanya, peribadinya yang riang dirasakan mampu memberi impak baru bagi program ini. Malah kombinasi lama dan baru ini dilihat sebagai tarikan kerana setiap seorang mempunyai kelompok peminat tersendiri, katanya ketika sidang medianya, baru-baru ini.

Scha menganggap tawaran ini sebagai satu peluang besar bagi kerjayanya apatah lagi dia yang baru setahun jagung dalam dunia seni.

"Saya berbesar hati apabila menerima tawaran daripada Astro ini dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik. Oleh itu saya mengharapkan sokongan daripada peminat supaya saya dapat memperbaiki kelemahan saya.

"Saya juga sudah bersedia dengan komen penonton nanti jika ada yang membandingkan cara saya dengan Linda Onn. Memang saya bukan pengacara terbaik tetapi saya akan tetap melaksanakan tugas saya dengan terbaik.

"Malah saya juga menjadikan Linda Onn sebagai panduan untuk saya menjalankan tugas saya nanti dengan menonton episod Sehati Berdansa musim lalu," katanya.

Manakala Fahrin mengakui terkejut apabila mengetahui bakal digandingkan dengan Scha kerana tidak menyangka akan digandingkan bersama. Bagaimanapun katanya, dia tiada masalah dengan keputusan Astro.

Lelaki Turki ditabal tertinggi dunia


LONDON: Lelaki tertinggi dunia, Sultan Kosen, yang memiliki ketinggian 2.465 meter (8 kaki 1 inci) kini berharap dapat mencari teman sejatinya selepas disahkan sebagai lelaki tertinggi dunia oleh Buku Rekod Dunia Guinness di London, semalam.

Sultan, 26, yang berasal dari Turki menggantikan lelaki tertinggi China, Bao Xishun yang memiliki ketinggian 2.36 meter dalam buku rekod itu.

Beliau turut memiliki tapak tangan dan kaki terbesar dunia dengan ukuran 27.5 sentimeter dan 36.5 sentimeter.

Rekod Sultan diumum sempena perlancaran edisi 2010 Buku Rekod Dunia Guinness.
Akibat ketinggiannya itu, Sultan tidak dapat menamatkan sekolah dan kini berkerja membantu keluarganya bertani.
Beliau berharap status barunya itu akan membawanya menjelajah dunia dan memiliki kereta yang mampu menampung saiz tubuhnya.

“Bagaimanapun, impian terbesar saya ialah untuk berkahwin dan memiliki anak. Saya kini mencari cinta sejati,” katanya.

Sultan memiliki tiga adik-beradik bersaiz normal.

Tumbesaran tubuhnya meningkat mendadak ketika beliau berusia 10 tahun berpunca daripada ketumbuhan yang meningkatkan hormon tumbesaran.

Ketumbuhan itu bagaimanapun berjaya dibuang dan tumbesaran tubuh Sultan berhenti tahun lalu.

Beliau kini terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan dan cepat letih jika berdiri. - AFP

Tuesday, September 15, 2009

REALITI : Air mata darah


DARI kiri Twinkle Dwivedi, Rashida Khatoon dan Calvinno Inman.


Fenomena pelik remaja titis air mata darah

CALVINNO Inman, Twinkle Dwivedi dan Rashida Khatoon tidak mengenali satu sama lain, tetapi remaja dari India dan Amerika Syarikat ini berkongsi satu masalah penuh misteri yang membingungkan ramai iaitu mereka mengalirkan air mata darah.

Inman, dari Tennessee, menjadi ‘mangsa’ terbaru masalah misteri itu dan penderitaannya itu menjadi perhatian ramai selepas dilaporkan media antarabangsa, akhir bulan lalu.

Remaja lelaki berusia 15 tahun itu dikatakan tidak dapat mengawal mengalirkan air mata darah sehingga tiga kali sehari dan berlanjutan selama 15 minit sehingga sejam!

Ketika ramai kagum dengan keadaan dirinya, tetapi tidak ramai yang menyedari masalah itu jelas mengganggu kehidupan Inman. Malah, beliau sering disindir rakan-rakannya yang melabelkannya sebagai kerasukan atau kesakitan setiap kali air mata darahnya mengalir.

“Kadang-kadang saya dapat rasakan ia keluar, sama seperti air mata. Saya berasakan mata saya berair. Kadang-kadang, mata saya terlalu sakit seolah-olah mahu tercabut,” katanya kepada stesen ABC News, baru-baru ini.

Wednesday, September 9, 2009

Waraknya Dan Tertibnya Isteri Perdana Menteri Malaysia

Nabila gemuk bukan hamil



MENDIRIKAN rumah tangga sejak 2 Disember lalu, Nabila Huda Suhaimi tidak pernah menjadikan ikatan perkahwinan itu sebagai penghalang dirinya daripada terus aktif bergelar anak wayang.

Walaupun ramai pasangan muda lebih gemar menghabiskan masa bersama pasangan terutama pada awal fasa perkahwinan, Nabila, 25, memilih untuk bersifat lebih realistik.

Lagipun, sebelum bergelar permaisuri kepada jejaka bernama Zaidy Zailani, 28, suaminya itu sudah memahami jadual pekerjaan Nabila yang tidak menentu dan banyak bergantung kepada projek yang diterima.

Jadi kesibukan bekerja tidak menjadi penghalang kepada pasangan itu untuk hidup bahagia seperti pasangan lain.

Apa yang penting, mereka akan meluangkan masa berjumpa setiap hari tidak kira betapa sibuk perjalanan karier masing-masing. "Sebenarnya, Zaidy juga sibuk dengan kerja dia. Takkan selepas berkahwin kami perlu sentiasa berkepit ke mana sahaja?

"Sampai bila mahu berbulan madu? Hidup perlu diteruskan dan kami masing-masing perlu mencari nafkah hidup. Selalunya saya akan balik petang atau malam dari lokasi penggambaran.

"Disebabkan hari rehat kami juga berlainan, kami lebih suka menghabiskan masa di rumah sambil menonton TV bersama. Jika kekurangan masa bersama, kami sentiasa akan berhubung menerusi telefon tidak kira SMS atau membuat panggilan," kata Nabila ketika ditemui pada rakaman Melodi Raya baru-baru ini.

Menetap di Kota Damansara, Nabila kini sibuk dengan penggambaran drama 13 episod, Sari Maya untuk tayangan TV9. Selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, Nabila akan memulakan penggambaran drama sebanyak 44 episod selama empat bulan untuk slot Akasia TV3 di sebuah pulau dalam negara.

"Memang empat bulan itu jangka masa yang panjang, tapi saya akan pulang setiap minggu kerana ada siaran langsung program Hits1 di TV1 yang sudah dikendalikan oleh saya sejak tiga tahun lalu. Jadi saya masih sempat berjumpa dengan suami setiap minggu," senyum Nabila.
Menguruskan badan sebanyak enam kilogram selama dua minggu selepas dikritik kelihatan gemuk, ramai juga yang salah anggap bahawa aktres itu sudah mengandung.


"Sebenarnya saya amat tertekan apabila ramai orang bercakap bahawa saya sudah gemuk. Ada juga yang cakap saya sudah mengandung. Jadi saya mula mengamalkan diet.

"Selain tidak mengambil nasi, saya juga akan berlari setiap pagi sebelum mula bekerja. Maka, dalam dua minggu sahaja, saya berjaya mencapai berat ideal 50 kilogram," katanya yang hanya akan mempunyai masa lapang Januari tahun depan.

Pertama kali beraya bersama suami, Nabila bagaimanapun mengakui tidak mempunyai perasaan teruja yang melampau. Lagipun, ayahnya, Amy Search tidak akan balik beraya di Johor.

Ini disebabkan ibu tirinya, Norish akan melahirkan anak ketiga sekitar pertengahan bulan ini.

"Tahun ini saya tidak kisah untuk beraya di mana dahulu kerana papa juga akan beraya di KL. Bagi saya sambutan raya setiap tahun adalah sama sahaja. Saya tidaklah teruja sangat atau mahu berbelanja secara berlebihan.

"Saya juga tidak menukar perabot setiap tahun tetapi cuma suka buat kuih raya. Jadi saya akan mengambil masa cuti lima hari sebelum raya untuk membuat persiapan. Selepas itu saya akan cuti raya selama seminggu sebelum memulakan penggambaran semula," tambahnya lagi.

Budak mengandung


BEIJING: Doktor di China terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun mempunyai bayi di dalam perutnya.

Kang Mengru mencetuskan kehairanan di kalangan doktor apabila perutnya terus membesar.

Imbasan CT yang dijalankan terhadapnya mendapati kejadian itu disebabkan janin di dalam perut Kang.

Doktor percaya janin itu adalah kembar parasitnya.
Kang kini menanti masa untuk menjalani pembedahan bagi membuang janin berkenaan.

Sunday, September 6, 2009

Aaron Aziz Dan Acha : Malaysia lubuk rezeki kami


Aaron dan Acha akui seronok dan bangga dapat kembangkan kerjaya seni di negara ini

GANDINGAN dua nama popular dari dua negara jiran, Acha Septriasa, 20, dan Aaron Aziz, 33, membangkitkan keserasian antara kedua-duanya meskipun inilah kali pertama mereka bertentang mata dalam sesi fotografi. Pun Begitu, Acha, aktres jelita dari Jakarta manakala Aaron, aktor dan model kacak kelahiran Singapura, saling mengagumi karier seni masing-masing. Justeru, apabila bertentang mata, senyuman meleret tidak pernah lekang di bibir antara kedua-duanya.

Ironinya, Acha dan Aaron tetap memilih Malaysia untuk pendidikan dan melebarkan kerjaya seni apabila bintang filem Heart itu melanjutkan pengajiannya di bidang Komunikasi Massa Multimedia & Penyiaran di Universiti Limkokwing, Cyberjaya, manakala Aaron sepantas kilat menempa popularitinya di sini sehingga dia dilantik sebagai Wajah Eksklusif Astro dan duta kepada beberapa produk gergasi tempatan.

Bagi mereka, Malaysia ibarat negara sendiri kerana di sinilah mereka mencari rezeki dan berpeluang mengembangkan kerjaya seni kerana masing-masing diterima peminat dan produk seni mereka juga laris.
Namun, Acha menangguhkan pengajiannya selama enam bulan dan akan kembali ke kampus selewat-lewatnya awal tahun depan apabila ketika ini dia sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri terbarunya di Jakarta. Acha akan kembali menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga sebaik kuliah bermula. Ketika di Indonesia, Acha menetap di kediaman keluarganya di Tebet Timur Dalam, Jakarta Selatan.

Menguruskan temu janji bersama Acha amat mudah apabila mendapat kerjasama dan layanan daripada ibunya, Rita. Kedatangan Acha ke Kuala Lumpur selama tiga hari mulai tanggal 27 Ogos lalu adalah untuk mempromosikan album mini solo pertamanya, Keputusan Hati apabila buat pertama kalinya, semua melodi serta lirik keempat-empat lagu di dalam album berkenaan, Acha sendiri bertindak sebagai produser dan komposer.

Album berkenaan sudah pun berada di pasaran Indonesia mulai 15 Ogos lalu apabila Acha memilih label Limaduabelas Muzik milik penyanyi terkenal Indonesia, Rossa untuk bernaung dan menjadi artis syarikat rakaman berkenaan sebaik saja kontraknya bersama Warner Music, tamat. Keputusan Hati adalah percubaan pertama Acha menghasilkan semua lagu solo apabila sebelum ini dia sering berduet dengan bekas kekasihnya, Irwansyah sehingga lagu My Heart seakan ‘berhantu’!

Sementara itu, percaturan Aaron mencari tapak di Malaysia membuahkan hasil apabila dia menempa populariti dengan sekelip mata. Biarpun sebagai warga negara Singapura, Aaron mendapat kepercayaan Astro sebagai Wajah Eksklusif mereka dan dalam masa sama menjadi rebutan ramai produser drama dan filem tempatan. Aaron juga dilantik sebagai duta L’oreal dan Celcom, sekali gus membuktikan rezekinya di Malaysia mencurah-curah.

Sejak 2004, Aaron sudah banyak menjayakan produksi di Malaysia, manakala drama terakhir yang dijayakannya di Singapura ialah Dol & Minah Nak Kahwin yang diterbitkan syarikatnya sendiri, Aaron Aziz Productions pada 2008. Di Singapura, Aaron mula berlakon pada penghujung 1999 sehingga 2003 dan pernah memenangi beberapa anugerah seperti Personaliti Paling Popular dan Pelakon Pembantu Terbaik pada Pesta Perdana Singapura sepanjang 2001 hingga 2003.

“Saya menjadikan lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa, manakala kebanyakan aktor atau aktres di Singapura menjadikan bidang lakonan sebagai karier sampingan kerana mereka mempunyai pekerjaan tetap lain. Justeru, sebagai memenuhi keperluan lakonan sepenuh masa, ia tidak sesuai di Singapura kerana industri lakonannya kecil dan terhad.

“Saya ingin berterima kasih kepada Erma Fatima dan Datuk Yusof Haslam kerana kemunculan awal saya di kaca TV Malaysia adalah menerusi produksi drama mereka. Apabila banyak menjayakan produksi di Malaysia, saya perhatikan cara berkerja karyawan di sini (Malaysia) dan Singapura sangat berbeza. Industri lakonan di Malaysia serius dan dilayan sangat profesional, lantas saya terbayang peluang yang mungkin saya peroleh di sini.

“Saya melihat masa depan yang cerah di Malaysia apabila banyak menimba ilmu dan pengalaman berlakon di sini. Saya ingin mencari tapak yang kukuh di Malaysia dan saya akan buat betul-betul. Orang Malaysia banyak membantu saya termasuklah pihak imigresen, mendapatkan rumah, persekolahan anak-anak, kebajikan seisi keluarga, semuanya terjamin dan diberi kemudahan.

Amani pilih ‘mat saleh’

KUALA LUMPUR: “Sejujurnya, lelaki ‘mat saleh’ bukan pilihan saya untuk dijadikan teman lelaki atau suami, tetapi pertemuan di lokasi penggambaran filem Hikayat Merong Mahawangsa mengubah persepsi itu.”

Demikian kata pelakon Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya atau Nani ketika memperkenalkan teman lelakinya, Gavin Stenhouse, 23, pada majlis berbuka puasa dan perkenalan anak kembar kakaknya yang juga penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya, kelmarin.

Nani, 23, berkata sikap mesra, sopan selain bersedia mempelajari budaya tempatan membuatkan hatinya tertarik untuk mendekati jejaka Scottish-Welsh itu yang memegang watak Putera Roman dalam filem terbitan KRU Studios itu.

Gavin bertemu Nani yang juga anak kedua guru seni lakon terkenal, Fatimah Abu Bakar ketika menjalani penggambaran filem berkenaan yang turut membabitkan Nani sebagai pembantu pengarah lagak ngeri.

Amani yang sebelum ini sangat berahsia mengenai kehidupan peribadinya tidak menafikan berasa malu untuk bercerita mengenai hubungannya, namun kini mula yakin memandangkan Gavin mudah selesa dengan keluarganya selain mula belajar berpuasa pada Ramadan ini.
Setakat ini Gavin tidak pernah gagal berpuasa walaupun sehari dan sering berbuka bersama keluarga saya.

“Dia juga akan menyambut Aidilfitri bersama kami tahun ini,” kata pemenang Anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-18 menerusi filem Sepet ini.

Gavin yang mudah disapa itu turut menyifatkan Nani sebagai wanita yang mudah bertolak ansur dan persefahaman antara mereka menyebabkan hubungan itu lebih akrab.

“Setakat ini saya tiada masalah berpuasa. Saya ingin menyambut hari raya kerana saya juga berpuasa,” kata Gavin yang mengakui menempah sepasang baju Melayu berwarna kelabu kebiruan untuk Syawal akan datang.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam filem epik yang turut menampilkan Stephen-Rahman Hughes sebagai pendokong utama, Gavin yang dibawa ke Malaysia oleh ejen Creative Artiste Management mengakui Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem pertama lakonannya kerana sebelum ini dia lebih aktif dalam pementasan teater.

Bagaimanapun, Nani menafikan sengaja membawa Gavin ke majlis berbuka puasa yang turut dihadiri sebahagian besar wakil media dan keluarganya untuk menghebahkan hubungannya dengan anak kelahiran Hong Kong itu, sebaliknya ingin mengajar jejaka itu mengenai budaya Melayu beragama Islam.

“Bangsa dan agama kita penuh dengan budaya, saya mahu Gavin mempelajari selok-belok mengenainya,” kata Nani.

Saturday, September 5, 2009

Scha mengaku mencintai Fahrin

SELAMA ni pelakon Scha Al-Yahya dan aktor tersohor Fahrin Ahmad hanya mendakwa hubungan mereka sekadar kawan rapat. Tapi akhirnya Scha membuat pengakuan secara jujur hatinya sudah menjadi milik Fahrin. Pendek kata orang lain jangan cuba nak masuk jarum.

Dalam erti kata lain mereka sudah bersedia mengisytiharkan hubungan mereka itu bukan biasa-biasa lagi sebaliknya sudah ditahap serius.

Semasa Niezam jumpa Scha pada majlis berbuka puasa anjuran Astro minggu lepas, Scha mengaku tidak mahu berselindung yang cintanya terhadap Fahrin sudah berputik.

“Memang setakat ini Fahrin rapat dengan Scha. Tak keterlaluan kalau Scha katakan hubungan itu lebih daripada seorang kawan,” katanya tersipu-sipu malu.

Baguslah kerana Scha berani berterus terang. Bukan apa, selama ini artis-artis kita kalau bercinta selalu nak sorok-sorok. Akhirnya kantoi juga.

Niezam tanya lagi adakah hubungan itu akan berakhir sehingga ke jenjang pelamin, kata Scha, setakat ini belum ke arah itu lagi. Cuma masih dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.

Cuma kadang-kadang tu Scha tak menafikan dalam hubungan tu mereka ada juga berselisih pendapat tetapi dapat diatasi dengan baik.

Tak apalah... gaduh-gaduh dalam percintaan memang perkara biasa. Itulah tandanya sayang

Buru ikan mulut mirip buaya


BIMBANGKAN tahap keselamatan orang ramai, pihak berkuasa Hong Kong melakukan pemeriksaan di beberapa buha kolam dan tasik awam selepas 16 ikan yang mempunyai mulut seperti buaya, Alligator gar ditemui.

Ikan itu dipercayai dibuang oleh pemiliknya di kolam dan tasik disebabkan saiznya yang semakin membesar.

Akhbar South China Morning Post semalam melaporkan seekor ikan Alligator gar sepanjang satu meter berjaya ditangkap di sebuah kolam di taman awam pada Jumaat lalu.

Ikan yang berasal daripada Amerika Utara itu dijual di Hong Kong untuk dipelihara di dalam akuarium semasa panjangnya kurang 30 sentimeter.

Ikan itu boleh membesar sehingga tiga meter panjang dan seberat 140 kilogram.

Menurut akhbar itu, sebanyak 15 ekor ikan ditemui di beberapa kolam dan tasik di sekitar Hong Kong.

Walaupun ikan itu agresif dan merupakan spesies karnivor, ia tidak menyerang manusia. - AFP

Wednesday, September 2, 2009

Anang ceraikan Krisdayanti talak tiga


KUALA LUMPUR - Suami artis popular Indonesia, Krisdayanti, 34, telah menjatuhkan talak tiga kepada penyanyi berkenaan pada 19 Ogos lalu, tiga hari sebelum umat Islam menyambut kehadiran Ramadan.

Anang Hermansyah, 40 tahun, mengaku beliau telah melafaz cerai kepada penyanyi lagu Menghitung Hari itu setelah mempercayai penyanyi yang mesra dipanggil KD telah memiliki 'pujaan hati' yang lain.

"Secara Islam, perceraian itu sudah sah tetapi kami masih dalam proses dengan jabatan agama," ujar Anang kepada beberapa media Indonesia seperti disiarkan.

Menurut Anang, bagi menghormati bulan Ramadan, proses perceraian akan diselesaikan sepenuhnya selepas Aidilfitri ini.

Beberapa media Indonesia juga menulis Anang mengetahui hubungan KD dengan lelaki berkenaan setelah diceritakan sendiri oleh anaknya, Titania Aurellie, 11.

Anang mendakwa, perceraian itu dibuat atas persetujuan anak-anak mereka selain diminta oleh isterinya sendiri.

Tuesday, September 1, 2009

Black tak mahu sertai MUH



SEJAK dinobatkan sebagai Juara Menntor 3 pada Julai lalu, heboh cerita kononnya Black akan menganggotai kumpulan indie, Meet Uncle Hussain (MUH) bagi menggantikan penyanyi utama kumpulan itu, Lan.

KHABAR angin tersebut semakin menyakinkan kerana sejak tersebarnya cerita itu, Black tidak pernah memberi sebarang kenyataan sama ada menafikan atau mengiyakannya.

Bagaimanapun sewaktu ditemui pada majlis menandatangani kontrak Black Mentor 3 bersama Monkey Bone Records di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur minggu lalu, anak didik Mas Idayu ini menafikan khabar angin tersebut sambil berkata;

"Saya tidak akan menyertai kumpulan MUH walaupun ianya baik untuk mempromosikan diri saya sebagai artis baru.

"Bagi saya adalah lebih baik saya membina nama sendiri secara solo dahulu di bawah syarikat rakaman Monkey Bone Records."

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah berkata, dia juga tidak pernah mendapat tawaran untuk menyertai MUH sama ada secara lisan mahupun hitam putih.

"Namun jika benar mereka ingin mengambil saya menjadi penyanyi mereka menggantikan bekas vokalis mereka, Lan, saya amat terharu dan rasa berbesar hati.

"Tetapi saya terpaksa menolaknya kerana saya ingin bergerak secara solo dahulu," ujar Black.

Sementara itu, Pengurus label Monkey Bone, Edris Adrian berkata, desas-desus lamaran MUH kepada Black mungkin timbul kerana mereka pernah meminta lagu daripada Taja untuk dinyanyikan oleh Black.

Edris menekankan Black tidak sekali-kali akan menyertai MUH kerana Monkey Bone telah pun merencanakan perjalanannya sebagai artis solo.

Namun, Edris menambah terdapat kemungkinan jika lagu Black turut menampilkan MUH sebagai artis undangan.

"Monkey Bone akan mengeluarkan album penuh Black pada November atau Disember tahun ini.

"Jika tiada aral melintang, album penuh akan dikeluarkan Disember ini. Kami berharap ianya sempat untuk dimasukkan dalam pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM)," kata Edris.

Menurut Edris, dia mengagumi vokal luar biasa Black yang lain daripada lain dari peringkat awal Mentor sehinggalah final.

"Vokal Black memang agak tinggi dan dia memang sesuai menyanyikan lagu berkonsepkan rock.

"Album pertama Black ini juga akan berkonsepkan genre rock secara amnya. "Namun, kami turut mempelbagaikannya dengan rock alternatif dan pop rock kerana Black juga suka menyanyikan lagu pop rock," tambah Edris.

Di majlis yang sama Juara Mentor 3 itu menerima cek RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva.

"Saya akan menghadiahkan kereta ini kepada ibu bapa saya. Saya juga berniat untuk menghantar mereka berdua mengerjakan ibadah Haji suatu hari nanti," tambahnya yang amat meminati Amy Search dan teringin berduet dengannya jika diberi peluang.

Selepas majlis Tandatangan Kontrak Black Mentor 3 itu, turut diadakan Sesi Rakaman Mentor 3 Raya yang melibatkan artis-artis terkenal dan peserta Mentor.

Berkonsepkan santai dan padat dengan elemen hiburan, rakaman khas episod Syawal kali ini turut membariskan gandingan sifu (mentor) dan protege musim ketiga.

Misalnya, Awie bersama Keena, Adibah Noor dan Thye, Lah dan anak didiknya Fira, komposer terkenal Ajai dan Chaq serta Black bergandingan dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu mendendangkan lagu-lagu Raya.

Mentor 3 Raya yang akan bersiaran selama sejam ini bakal disiarkan pada 27 September ini pada pukul 9 malam di TV3.

Cinta Datuk



Umie Aida mengaku dalam proses mengenali hati budi lelaki yang juga tokoh korporat

USIKAN media yang menemuinya ketika penggambaran program masakan, Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza baru-baru ini disambut dengan senyuman yang meleret manis di wajah ayu Umie Aida.

Sesekali dia berseloroh dan tersipu malu, membalas semula gurauan yang ditujukan. Namun untuk membongkar segala isi hatinya bukan sesuatu yang mudah dilakukan.
Saya tidak akan sorok jika hari bahagia itu datang nanti,” janji Umie kepada media yang tidak putus menagih kepastian sejak berita dia dilamar ahli perniagaan berpangkat Datuk tersebar beberapa minggu lalu.

Malah teka-teki mengenai siapakah gerangan ahli perniagaan itu mula menjadi bualan di kalangan pihak media dan peminat hiburan tanah air. Ada yang mendakwa sudah mengetahui identiti Datuk itu. Malah ada yang mengaku pernah terserempak dengan tokoh korporat itu bersama aktres yang kelihatan begitu anggun dalam busana baju kurung petang itu.

Sebagai wanita, Umie juga mendambakan kehadiran lelaki bernama suami, malah tidak pernah sesekali menolak ketentuan yang ditakdirkan Tuhan.
Malah aktres yang memberi lakonan berkesan menerusi filem Embun ini berkata, dia ingin sekali berkongsi detik bahagia itu bersama mereka yang sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupnya.

Cuma kata Umie, berikan dia sedikit ruang dan masa kerana segala perancangan ke arah itu masih dalam perbincangan.

“Saya mendoakan supaya jodoh kami dipercepatkan untuk saya mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Perkenalan kami berlaku dalam waktu singkat dan percaya tidak, kami masih belum berkesempatan keluar berdua.

“Dengan ada ikatan pertunangan, barangkali lebih mudah untuk kami saling mengenali hati masing-masing,” kata Umie yang agak pemalu apabila diajak berbicara mengenai hari bahagianya.

Menjengah usia 36 tahun, Umie berpendapat, adalah lebih manis jika dia tidak terlalu menggembar-gemburkan berita itu.

Tambahan pula, fasa yang dilaluinya ini bukan lagi sebuah episod cinta remaja, sebaliknya kata Umie, dia mendambakan sebuah perhubungan serius yang lebih terarah kepada membina keluarga.

“Saya mendoakan sesuatu yang terbaik akan berlaku dalam kehidupan ini. Hanya itu yang dapat saya katakan. Saya reda dan terima jika sudah tertulis dia ialah jodoh saya,” katanya mengakui, tarikh hari bahagianya masih dalam perbincangan.

Kata Umie, pesanan arwah bapanya supaya mencari lelaki yang ikhlas mencintai dirinya membuka pintu hatinya untuk melangkah ke alam berumah tangga.

Umie percaya, keikhlasan dalam perhubungan akan membungakan bahagia sekali gus rumah tangga yang bakal dibinanya nanti juga berkekalan.

“Ramai berpesan begitu dan saya cuma mampu berdoa kehadirannya akan membuat saya serta anak-anak bahagia,” katanya.

Enggan menoleh episod cinta lama yang menjadi catatan sejarah yang tidak ingin dikenang lagi, Umie berkata, dia perlu memberi ruang kepada dirinya untuk mengenali bakal suaminya dengan lebih akrab lagi.

Adik pelakon dan pengarah berkaliber, Erma Fatima ini mengakui, pengalaman menempuh kegagalan dalam percintaan terdahulu membuatkan dia lebih berhati-hati untuk membina hubungan baru.

“Disebabkan terlalu berhati-hati membuatkan sampai satu peringkat saya sukar mencari pasangan baru. Saya akui tidak mudah untuk membina hubungan kerana saya bukan seorang yang senang jatuh cinta.

“Tetapi apabila saya mencintai seseorang, saya akan menyayanginya sepenuh jiwa. Namun perasaan itu berbeza apabila saya berkenalan dengan si dia.

“Gerak hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya. Insya-Allah, Tuhan akan makbulkan. Tuhan menggerakkan semua ini tanpa saya sedari dan perlahan-lahan kami sedang melangkah ke satu tahap yang lebih serius,” katanya.

Sekadar mendedahkan identiti bakal suaminya sebagai duda dua anak berusia pertengahan 40-an , Umie bagaimanapun tidak menafikan sudah melakukan sedikit persiapan menjelang hari bersejarah itu.

Pereka senior, Bill Keith diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan persalinan pada hari pertunangannya nanti.

Tegas Umie lagi, perkahwinan baginya bukan sebuah perjudian, sebaliknya adalah matlamat.

“Seandainya kita yakin, semua benda akan dihadapi dengan tenang dan Insya-Allah perceraian mampu dihindari,” katanya yang dirisik keluarga lelaki itu pada 17 Mei lalu.

'Spiderman' akhirnya tawan Menara Petronas




Sep 1, 09

Alain Robert, 'Spiderman' dari Perancis ditangkap hari ini selepas berjaya memanjat Menara Petronas, percubaan ketiganya untuk menawan menara tertinggi di negara ini, kata polis.

Robert, 46, mula memanjat menara setinggi 88 tingkat itu sebelum Subuh dan sampai ke kemuncaknya, sebelum disedari oleh pegawal keselamatan di situ, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman kepada AFP.

"Kita telah membawanya ke balai polis untuk disoal dan memeriksa pasportnya.

"Beliau boleh didakwa atas tuduhan menceroboh," katanya.

Percubaan pertama Robert untuk memanjat menara itu ialah pada 20 Mac 1997, dan percubaan kedua pada 2007, selepas dia dibebaskan tanpa didakwa.

Beliau yang digelar 'Spiderman' pernah memanjatkan Eiffel Tower di Paris dan Golden Gate Bridge di San Francisco.

Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter itu, yang siap dibina 1998, merupakan bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh antaranya Taipe 101.

Panjat dua jam

Sementara itu, Bernama pula melaporkan Robert yang memakai kemeja T gelap dan berseluar jeans, mula memanjat Menara Dua pada jam 6 pagi dan sampai ke puncaknya dalam masa dua jam.

Bagaimanapun, dia ditahan polis dan disiasat kerana kesalahan
menceroboh kerana tidak mendapatkan permit.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan larangan dengan memanjat tanpa permit," kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman.

Robert dipercayai memasuki Malaysia pada 25 Ogos lepas dan tinggal di Hotel Mandarin Oriental yang berdekatan menara Petronas itu.