Tuesday, September 22, 2009

Akrab seperti satu keluarga


EMPAT tahun lalu, saya pernah mengatur satu majlis berbuka puasa dan sesi fotografi istimewa Aidilfitri antara penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Apabila mendapat persetujuan daripada Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah, saya maklumkan hal itu kepada Siti dan penyanyi itu melonjak kegembiraan kerana sudah lama dia berhasrat untuk bergambar bertiga dengan pasangan tersohor untuk sesi fotografi.

Itu kisah pada tahun 2005 ketika saya masih lagi bertugas dengan akhbar Kosmo! (akhbar terbitan Kumpulan Utusan). Siti pula pada ketika itu belum lagi bergelar isteri orang.

Tahun ini, sekali lagi Siti saya hubungi menyuarakan hajat untuk mengadakan sesi fotografi.

Seingat saya, panggilan itu dibuat seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan meminta Siti mengosongkan diarinya bagi memenuhi keinginan Mega merakamkan foto beliau dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam kesibukan saya serta Siti, kami terlepas pandang sehingga menjelang penghujung Ramadan.

Sekali lagi, Siti dan suaminya saya hubungi bertanyakan apa status permintaan saya untuk merakamkan foto mereka untuk tatapan pembaca akhbar ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pasangan popular itu seperti tiada jawapan. Baik Siti mahupun Khalid mereka berdua hanya mampu ketawa kerana masing-masing buntu.

Bagaimanapun, perancangan Khalid mengundang Perdana Menteri keempat negara, Dr. Mahathir dan isteri beliau, Dr. Siti Hasmah ke rumah mereka untuk majlis berbuka puasa mengubah segala-galanya.

Siti menghubungi saya dan mengundang saya untuk menyertai majlis berkenaan.

Apabila diundang ke majlis berbuka puasa bersama negarawan ulung, haruskah saya menolaknya?

Saya pasti anda juga akan berfikir dua kali untuk menolak undangan itu.

Sebaik persetujuan diberi, saya memaklumkan kepada Siti dan Khalid hajat saya untuk sekali lagi mengulangi momen manis yang pernah Siti lalui ketika saya merakamkan foto penyanyi itu dengan pasangan yang disayangi oleh seluruh rakyat Malaysia itu. Alhamdulillah, semua pihak tiada halangan.

Pada hari yang dirancang itu, saya sekali lagi bersua muka dengan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah.

"Dulu bukan ka kita dah pernah ambil gambar macam ini? Tak apa ka nak buat lagi sekali? Ada ka orang nak tengok muka kami?" itu antara soalan yang ditanya Dr. Mahathir kepada saya dan Siti secara spontan ketika kami meminta persetujuan untuk merakamkan foto sempena Aidilfitri.

Ketika itu juga, saya rasa malu sendiri kerana Dr. Mahathir masih lagi ingat pengalaman manis itu.
Selepas mendengar pertanyaan Dr. Mahathir, saya, Siti dan Khalid hanya mampu tersenyum kerana beliau begitu merendah diri.

Pada masa yang sama, hati saya berbunga keriangan kerana berpeluang sekali lagi mendekati tokoh Melayu yang sangat masyhur di seluruh dunia.

Terima kasih Dr. Mahathir. Terima kasih Dr. Siti Hasmah.

No comments:

Post a Comment