Tuesday, September 22, 2009

"Kami berdua peminat Siti"


PADA 23 Ramadan lalu bersamaan 13 September, banglo yang didiami Siti Nurhaliza dan suaminya, Khalid atau Datuk K meriah dengan kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Siti dan Khalid meraikan dua tetamu ulung negara itu pada majlis berbuka puasa selain beberapa rakan karib pasangan itu.

Beberapa jam sebelum bertemu Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah saya yang turut diundang ke majlis itu sudah berkira-kira untuk bertanya pandangan kedua-dua tokoh itu mengenai Siti.

Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang lebar kerana apa yang paling utama ialah saya mahu membawa anda mendengar jawapan daripada Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah.

Dan suatu yang pasti, jawapan yang saya peroleh daripada pasangan suami isteri itu sudah tentu juga akan dipersetujui oleh sebilangan besar peminat setia penyanyi itu.

Mahu tahu apa jawapan Dr. Mahathir?

Berikut apa yang sempat saya tulis dalam buku nota saya:

"Saya antara peminat setia Siti. Saya sangat kagum dengan bakat yang ada dalam dirinya," itu reaksi ringkas Dr. Mahathir menggambarkan kekaguman beliau pada penyanyi yang begitu masyhur di negara ini.

Dr. Mahathir juga mengakui, beliau sering mengikuti perkembangan seni Siti.

Dalam perbualan antara saya dengan Dr. Mahathir serta turut disertai oleh Siti tempoh hari juga, jelas terpancar kebanggaan pada bekas Perdana Menteri yang disayangi rakyat itu terhadap pencapaian penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu.

Saya turut bertanya reaksi Dr. Mahathir terhadap persembahan Siti pada Konsert Satu yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jun lalu. Dr. Mahathir dan isterinya turut hadir menonton Konsert Satu.

Rancak bercerita pasal konsert berkenaan juga, tiba-tiba Dr. Mahathir menyuarakan sedikit rasa kecewa beliau terhadap persembahan itu.

Saya yang agak tergamam lantas bertanya kepada Dr. Mahathir kenapa beliau merasa kecewa dengan persembahan Siti yang berlangsung selama tiga malam itu.

"Sebab tak banyak lagu tradisional. Saya katakan pada Siti yang saya sangat frust (kecewa) sebab dia tak nyanyi banyak lagu tradisional.

"Tapi saya kena fahamlah dia ada banyak lagi lagu popular lain yang dia perlu nyanyi," kata Dr. Mahathir sambil memandang Siti yang tersipu-sipu malu di sisinya.

Pada masa yang sama, Dr. Mahathir juga menyatakan kekaguman terhadap vokal Siti yang disifatkannya sebagai anugerah tertinggi daripada Allah buat penyanyi berusia 30 tahun itu.

"Saya hairan sungguh dia (Siti) boleh nyanyi hampir 30 lagu tanpa henti. Pada saya bukan senang untuk kita menyanyi, menari, bercakap di atas pentas.

"Bertuah betul dia (Siti). Saya harap dia akan kekalkan apa yang ada dalam diri dia," nasihat Dr. Mahathir kepada penyanyi yang baru saja muncul dengan album kerohanian, Tahajud Cinta.

Dr. Siti Hasmah yang banyak menyuntik inspirasi kepada sebilangan besar rakyat Malaysia turut mengakui, beliau antara peminat Siti.

"Suaranya cukup merdu. Saya sangat sayang pada Siti," kata Dr. Siti Hasmah seorang ikon yang disayangi dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sebetulnya tidak banyak kesempatan yang saya ada untuk berbual dengan lebih panjang bersama Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah.

Ini kerana saya sendiri begitu ralit melihat betapa mesranya hubungan mereka berempat - Dr. Mahathir, Dr. Siti Hasmah, Siti Nurhaliza dan Khalid.

Begitu juga keramahan Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah melayan tetamu-tetamu lain.

Lalu, saya tinggalkan anda dengan beberapa lagi foto menarik yang dirakamkan oleh jurugambar Mohd. Farizwan Hasbullah.

Oh ya... saya juga sengaja ingin membawa ingatan anda semua kepada sekeping foto yang dirakamkan pada tahun 2005 - iaitu sesi fotografi pertama yang saya atur antara Siti bersama dan mentornya di Restoran Smokehouse di tengah-tengah ibu kota.

1 comment:

  1. Play Online Roulette for Free or Real Money - Gold Casino
    Play the best online roulette games online for 메리트카지노 real money today. From European roulette to blackjack and live dealer mode, win leovegas big today! bk8

    ReplyDelete