Sunday, September 6, 2009

Aaron Aziz Dan Acha : Malaysia lubuk rezeki kami


Aaron dan Acha akui seronok dan bangga dapat kembangkan kerjaya seni di negara ini

GANDINGAN dua nama popular dari dua negara jiran, Acha Septriasa, 20, dan Aaron Aziz, 33, membangkitkan keserasian antara kedua-duanya meskipun inilah kali pertama mereka bertentang mata dalam sesi fotografi. Pun Begitu, Acha, aktres jelita dari Jakarta manakala Aaron, aktor dan model kacak kelahiran Singapura, saling mengagumi karier seni masing-masing. Justeru, apabila bertentang mata, senyuman meleret tidak pernah lekang di bibir antara kedua-duanya.

Ironinya, Acha dan Aaron tetap memilih Malaysia untuk pendidikan dan melebarkan kerjaya seni apabila bintang filem Heart itu melanjutkan pengajiannya di bidang Komunikasi Massa Multimedia & Penyiaran di Universiti Limkokwing, Cyberjaya, manakala Aaron sepantas kilat menempa popularitinya di sini sehingga dia dilantik sebagai Wajah Eksklusif Astro dan duta kepada beberapa produk gergasi tempatan.

Bagi mereka, Malaysia ibarat negara sendiri kerana di sinilah mereka mencari rezeki dan berpeluang mengembangkan kerjaya seni kerana masing-masing diterima peminat dan produk seni mereka juga laris.
Namun, Acha menangguhkan pengajiannya selama enam bulan dan akan kembali ke kampus selewat-lewatnya awal tahun depan apabila ketika ini dia sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri terbarunya di Jakarta. Acha akan kembali menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga sebaik kuliah bermula. Ketika di Indonesia, Acha menetap di kediaman keluarganya di Tebet Timur Dalam, Jakarta Selatan.

Menguruskan temu janji bersama Acha amat mudah apabila mendapat kerjasama dan layanan daripada ibunya, Rita. Kedatangan Acha ke Kuala Lumpur selama tiga hari mulai tanggal 27 Ogos lalu adalah untuk mempromosikan album mini solo pertamanya, Keputusan Hati apabila buat pertama kalinya, semua melodi serta lirik keempat-empat lagu di dalam album berkenaan, Acha sendiri bertindak sebagai produser dan komposer.

Album berkenaan sudah pun berada di pasaran Indonesia mulai 15 Ogos lalu apabila Acha memilih label Limaduabelas Muzik milik penyanyi terkenal Indonesia, Rossa untuk bernaung dan menjadi artis syarikat rakaman berkenaan sebaik saja kontraknya bersama Warner Music, tamat. Keputusan Hati adalah percubaan pertama Acha menghasilkan semua lagu solo apabila sebelum ini dia sering berduet dengan bekas kekasihnya, Irwansyah sehingga lagu My Heart seakan ‘berhantu’!

Sementara itu, percaturan Aaron mencari tapak di Malaysia membuahkan hasil apabila dia menempa populariti dengan sekelip mata. Biarpun sebagai warga negara Singapura, Aaron mendapat kepercayaan Astro sebagai Wajah Eksklusif mereka dan dalam masa sama menjadi rebutan ramai produser drama dan filem tempatan. Aaron juga dilantik sebagai duta L’oreal dan Celcom, sekali gus membuktikan rezekinya di Malaysia mencurah-curah.

Sejak 2004, Aaron sudah banyak menjayakan produksi di Malaysia, manakala drama terakhir yang dijayakannya di Singapura ialah Dol & Minah Nak Kahwin yang diterbitkan syarikatnya sendiri, Aaron Aziz Productions pada 2008. Di Singapura, Aaron mula berlakon pada penghujung 1999 sehingga 2003 dan pernah memenangi beberapa anugerah seperti Personaliti Paling Popular dan Pelakon Pembantu Terbaik pada Pesta Perdana Singapura sepanjang 2001 hingga 2003.

“Saya menjadikan lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa, manakala kebanyakan aktor atau aktres di Singapura menjadikan bidang lakonan sebagai karier sampingan kerana mereka mempunyai pekerjaan tetap lain. Justeru, sebagai memenuhi keperluan lakonan sepenuh masa, ia tidak sesuai di Singapura kerana industri lakonannya kecil dan terhad.

“Saya ingin berterima kasih kepada Erma Fatima dan Datuk Yusof Haslam kerana kemunculan awal saya di kaca TV Malaysia adalah menerusi produksi drama mereka. Apabila banyak menjayakan produksi di Malaysia, saya perhatikan cara berkerja karyawan di sini (Malaysia) dan Singapura sangat berbeza. Industri lakonan di Malaysia serius dan dilayan sangat profesional, lantas saya terbayang peluang yang mungkin saya peroleh di sini.

“Saya melihat masa depan yang cerah di Malaysia apabila banyak menimba ilmu dan pengalaman berlakon di sini. Saya ingin mencari tapak yang kukuh di Malaysia dan saya akan buat betul-betul. Orang Malaysia banyak membantu saya termasuklah pihak imigresen, mendapatkan rumah, persekolahan anak-anak, kebajikan seisi keluarga, semuanya terjamin dan diberi kemudahan.

No comments:

Post a Comment