Tuesday, September 22, 2009

Pertemuan sulung Lisa, Nicholas


PENING juga dibuatnya apabila memikirkan pasangan yang sesuai dan layak untuk digandingkan dengan aktor popular dari seberang ini.

Bimbang kalau silap percaturan sesi fotografi ini akan menjadi dingin kerana tiada keserasian yang wujud antara Nicholas Saputra dan pasangannya nanti.

Lantas, idea menggandingkan Nicholas atau Nico dengan pelakon yang semakin hari semakin menempa nama, Lisa Surihani dilontarkan.

Fikir saya, ideal sungguh andai mereka berdua digandingkan dan pastinya sesi fotografi ini akan menjadi sesuatu yang menarik.

Lisa seperti mana yang diketahui merupakan seorang aktres yang memiliki rupa, bakat dan kebijaksanaan.

Bicaralah apa sahaja dengannya, ada sahaja jawapan bernas yang mampu dihujahkan.

Dan, perkara itu sendiri diakui oleh Nico saat diminta pandangannya tentang Lisa yang kali pertama ditemukan.

"Dia adalah seorang yang cantik dan bijak," ujar Nico menggambarkan karakter Lisa.

Kata orang yang rapat dengan Nico, jarang sekali dia memuji seseorang dan andai pujian itu terpacul dari mulutnya, maka dia menyenangi orang itu.

Begitu juga dengan Lisa yang mengakui, sangat selesa berada di samping Nico walaupun pada mulanya aktor pujaan ramai itu agak berat mulut dan pendiam.

"Kerana itu, saya harus mencari topik yang sesuai untuk memulakan bicara kami dan ternyata banyak perkara yang boleh kami bincangkan bersama," kata Lisa yang mengagumi lakonan Nico sebagai Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta?.

Memang benar. Sepanjang sesi fotografi, Nico dan Lisa memiliki keserasian dan tidak kekok bila diminta memberikan pelbagai gaya.

Biarpun pada hari fotografi tersebut Nico baru sahaja tiba dari Jakarta, Indonesia bagi menyelesaikan penggambaran iklan, dia tidak merungut. Suasana juga terhibur dengan kepetahan Lisa melayani Nico.

Sesi fotografi ini sebetulnya merupakan gandingan pertama Nico dan Lisa. Rasanya belum pernah lagi mereka digandingkan dalam mana-mana penerbitan sebelum ini.

Sungguh padan sekali Nico dan Lisa berpakaian sedondon dalam persalinan busana Melayu yang cukup menyerlahkan keperibadian dua anak kelahiran negara serumpun ini.

Apatah lagi, Nico dan Lisa juga masih lagi muda - masing-masing berusia 25 dan 23 tahun. Jadi, tiada masalah untuk mereka berkongsi cerita mahupun pendapat.

Menatap gambar Nico ini, mungkin ramai yang berkerut dan memikirkan apakah sebenarnya agama yang dianuti Nico. Sebelum ini ramai yang beranggapan dia penganut agama Kristian sedangkan hakikatnya, tidak.

Nico merupakan seorang penganut agama Islam. Bapanya adalah keturunan Jawa sementara ibunya pula berdarah Jerman.

"Mungkin kerana nama dan paras rupa saya yang menyebabkan ramai menyangka saya adalah bukan Islam," ujarnya bersahaja.

Lantaran itu, soalan demi soalan diajukan kepada anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini mengenai sambutan Syawal di tanah kelahirannya.

Jelasnya, lebaran merupakan hari keramaian untuknya kerana hanya pada waktu itu sahaja, dia dapat berkumpul bersama ahli keluarganya yang lain.

Seperti umat Islam yang lain, sebaik sahaja selesai solat sunat Aidilfitri, Nico sekeluarga akan berkunjung ke rumah neneknya yang menjadi pusat pertemuan untuk semua ahli keluarga.

"Sungguh seronok sekali apabila melihat keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan berkumpul sepanjang tiga hari kami mengadakan rumah terbuka.

"Bukan itu sahaja, saya juga masih lagi mendapat duit raya daripada pakcik dan makcik saya yang menjadi satu adat di sana untuk mereka memberikan wang kepada mereka yang masih belum berkahwin," katanya yang cukup gemar menikmati sambal goreng hati dan rendang di pagi lebaran.

Sempat juga pelakon filem Janji Joni dan Biola Tak Berdawai itu berkongsi pengalaman sedihnya apabila tidak dapat beraya bersama keluarga pada tahun 2005.

Ketika itu, dia perlu melunaskan tanggungjawabnya menerbitkan sebuah dokumentari tentang Acheh selama 10 hari.

"Memang sedih terutama sekali saat takbir dilaungkan. Namun, semua itu adalah satu pengalaman dan saya sendiri dapat merasai bagaimana beraya di perantauan," ujar Nico yang merupakan VJ di Channel [V].

Suatu hal mengenai Nico yang mungkin ramai tidak diketahui ramai ialah dia sememangnya cukup berat mulut untuk berkongsi cerita peribadi buat tatapan umum. Bagi Nico, ia bagaikan satu tabu jika soalan berbentuk peribadi diajukan kepadanya.

Dalam erti kata lain, usah bermimpi untuk mendapatkan jawapan darinya terutama sekali membabitkan cinta.

"Peribadi adalah hak saya dan tidak wajar untuk saya berkongsi kepada masyarakat.

"Kerja dan peribadi adalah dua cabang yang cukup berbeza. Saya fikir ada lebih banyak lagi cerita lain yang boleh saya kongsi dan paparkan kepada masyarakat," tuturnya dalam nada tegas.

Mengalih bicara kepada perkembangan karier seninya pula, Aktor Terbaik Anugerah Filem Indonesia 2007 ini dengan penuh jujur memberitahu, dia memang selektif dan cerewet.

Memang pernah heboh sebelum ini mengatakan Nico sudah jauh berubah dan hanya mahu berlakon dalam filem yang ditangani oleh pengarah hebat saja.

"Isunya bukan berlagak atau sombong. Selektif saya bertempat dan semuanya kerana mahu memberikan yang terbaik kepada penonton dan peminat.

"Saya bukannya seorang yang asal berlakon sahaja demi memuaskan hati sesetengah pihak yang mahukan saya beraksi di bioskop.

"Ini merupakan tanggungjawab saya kepada mereka dan saya tidak kisah kalau tawaran berlakon tidak banyak," ujar Nico yang kali terakhir beraksi dalam filem 3 Hari Untuk Selamanya dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment