MENDIRIKAN rumah tangga sejak 2 Disember lalu, Nabila Huda Suhaimi tidak pernah menjadikan ikatan perkahwinan itu sebagai penghalang dirinya daripada terus aktif bergelar anak wayang.
Walaupun ramai pasangan muda lebih gemar menghabiskan masa bersama pasangan terutama pada awal fasa perkahwinan, Nabila, 25, memilih untuk bersifat lebih realistik.
Lagipun, sebelum bergelar permaisuri kepada jejaka bernama Zaidy Zailani, 28, suaminya itu sudah memahami jadual pekerjaan Nabila yang tidak menentu dan banyak bergantung kepada projek yang diterima.
Jadi kesibukan bekerja tidak menjadi penghalang kepada pasangan itu untuk hidup bahagia seperti pasangan lain.
Apa yang penting, mereka akan meluangkan masa berjumpa setiap hari tidak kira betapa sibuk perjalanan karier masing-masing. "Sebenarnya, Zaidy juga sibuk dengan kerja dia. Takkan selepas berkahwin kami perlu sentiasa berkepit ke mana sahaja?
"Sampai bila mahu berbulan madu? Hidup perlu diteruskan dan kami masing-masing perlu mencari nafkah hidup. Selalunya saya akan balik petang atau malam dari lokasi penggambaran.
"Disebabkan hari rehat kami juga berlainan, kami lebih suka menghabiskan masa di rumah sambil menonton TV bersama. Jika kekurangan masa bersama, kami sentiasa akan berhubung menerusi telefon tidak kira SMS atau membuat panggilan," kata Nabila ketika ditemui pada rakaman Melodi Raya baru-baru ini.
Menetap di Kota Damansara, Nabila kini sibuk dengan penggambaran drama 13 episod, Sari Maya untuk tayangan TV9. Selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, Nabila akan memulakan penggambaran drama sebanyak 44 episod selama empat bulan untuk slot Akasia TV3 di sebuah pulau dalam negara.
"Memang empat bulan itu jangka masa yang panjang, tapi saya akan pulang setiap minggu kerana ada siaran langsung program Hits1 di TV1 yang sudah dikendalikan oleh saya sejak tiga tahun lalu. Jadi saya masih sempat berjumpa dengan suami setiap minggu," senyum Nabila.
Menguruskan badan sebanyak enam kilogram selama dua minggu selepas dikritik kelihatan gemuk, ramai juga yang salah anggap bahawa aktres itu sudah mengandung.
"Sebenarnya saya amat tertekan apabila ramai orang bercakap bahawa saya sudah gemuk. Ada juga yang cakap saya sudah mengandung. Jadi saya mula mengamalkan diet.
"Selain tidak mengambil nasi, saya juga akan berlari setiap pagi sebelum mula bekerja. Maka, dalam dua minggu sahaja, saya berjaya mencapai berat ideal 50 kilogram," katanya yang hanya akan mempunyai masa lapang Januari tahun depan.
Pertama kali beraya bersama suami, Nabila bagaimanapun mengakui tidak mempunyai perasaan teruja yang melampau. Lagipun, ayahnya, Amy Search tidak akan balik beraya di Johor.
Ini disebabkan ibu tirinya, Norish akan melahirkan anak ketiga sekitar pertengahan bulan ini.
"Tahun ini saya tidak kisah untuk beraya di mana dahulu kerana papa juga akan beraya di KL. Bagi saya sambutan raya setiap tahun adalah sama sahaja. Saya tidaklah teruja sangat atau mahu berbelanja secara berlebihan.
"Saya juga tidak menukar perabot setiap tahun tetapi cuma suka buat kuih raya. Jadi saya akan mengambil masa cuti lima hari sebelum raya untuk membuat persiapan. Selepas itu saya akan cuti raya selama seminggu sebelum memulakan penggambaran semula," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment