SUDAH pasti, khalayak umum hanya mengenali anak kedua dan keenam dari keluarga besar Che Wan Md. Arshad dan Zabedah Saad iaitu, Rozita dan Ayu Raudah yang bergelar pelakon popular.
Sebenarnya tiga lagi adik-beradik perempuan mereka turut memiliki kejelitaan yang sama taraf dengan dua selebriti itu.
Cuma ketika sesi fotografi dijalankan hanya empat daripada lima adik-beradik perempuan mereka dapat dikumpulkan iaitu Rozita, 36, Ayu Raudah, 25, kakak sulung, Rahimah 37, dan Rohaiza, 28, yang merupakan anak kelima, daripada tujuh adik-beradik.
Anak ketiga, Rubitah, 32, yang merupakan isteri kepada Lan Senario tidak dapat hadir. Meskipun hanya berempat tetapi Studio Utusan tetap kecoh dan gamat dengan gelak tawa mereka kerana mereka turut ditemani dua adik-beradik lelaki, Roshidi, 30, dan Mohd. Rafiuddin, 21.
Keempat-empat jelitawan Che Wan tergelak besar apabila dikatakan memiliki kejelitaan yang istimewa sehingga sering dikaitkan dan menjadi buruan 'orang berpoket tebal'.
Meskipun itu soalan lazim yang diajukan, tetapi mereka tidak pernah mendabik dada dengan kecantikan semula jadi yang dimiliki.
"Jelita ke? Kami rasa biasa sahaja. Lahir-lahir memang sudah macam ini, jadi kena berterima kasih kepada ibu kerana melahirkan kami.
"Tidak semestinya cantik mesti kahwin dengan orang kaya, itu persepsi orang lain tetapi bagi kami perkahwinan itu kerana jodoh. Ibu kami juga tidak kisah dengan siapa kami berkahwin asalkan bahagia. Kalau ada yang menganggap kami cantik terima kasih. Ini semua hanya pinjaman daripada Allah. Kalau sudah jodoh dengan orang kaya terima sajalah," ujar Rozita.
Ditebak tentang khabar angin kononnya setiap kali tibanya hari raya, pasti banyak kereta mewah berbaris panjang di hadapan kediaman mereka di Alor Setar, Kedah. Kiranya, ramailah orang kaya raya yang bertandang ke rumah mereka.
Baik Rozita, Ayu, Rohaiza dan Rahimah berpandangan sesama sendiri sebelum tergelak besar dan menyoal semula siapakah yang memberitahu khabar angin itu.
"Kereta mewah berbaris panjang? Mana ada. Kalau ada pun kereta kami adik-beradiklah. Kami tujuh adik-beradik, bila semua balik pastilah penuh halaman rumah. Kadang-kadang jiran sebelah pun tumpang letak kereta depan rumah kami.
"Kalau nak ikutkan setiap tahun orang yang beraya di rumah kami adalah orang yang sama. Kawan-kawan adik-beradik dan saudara-mara. Tidak tahulah pula ada kereta mewah depan rumah kami," ujar Rohaiza sambil tertawa.
Rozita menambah itu semua sekadar gosip sahaja dan mereka sudah biasa menelan segala tohmahan yang diberikan khalayak dan media dengan baik.
Katanya disebabkan hubungan mereka adik-beradik sangat rapat, mereka dapat membezakan gosip yang benar dan rekaan semata-mata.
"Kami semua tinggal satu apartmen, cuma pintu rumah saja lain-lain.Sebab itu kami rapat dan berjumpa setiap hari. Bila ada gosip baru, adik-beradik saya yang tahu dulu, jadi kami tidak ada salah faham. Ibu di kampung pun tidak risau kerana kami masih bersama di Kuala Lumpur," kata Rozita yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak lelaki.
No comments:
Post a Comment